Monday 13 August 2012

FALSAFAH SEKOLAH SJK(C) PELAWAN


Berlandaskan Prinsip-prinsip, 
Setiap Insan Boleh Dididik, 
Sekolah ini Menawarkan Suatu
Persekitaran Pembelajaran Murid,
Yang Selamat, Ceria, Selesa Dan Kondusif
Di bawah Asuhan Guru Profesional

Usaha Mendidik ini Berterusan Ke Arah
Memperkembangkan Lagi Potensi Individu
 Secara Optimum Demi Melahirkan Insan Seimbang
Dan Harmonis Dari Aspek Intelektual, Sahsiah Dan
Jati Diri Demi Menyumbang Ke Arah Kemajuan
Dan Kemakmuran Negara Malaysia.

SEJARAH SEKOLAH 校史


Kampung Baru Pelawan adalah sebuah kampung kecil yang terletak di kawasan Langkap dan penduduk-penduduk di kampung ini ialah terdiri daripada orang-orang Cina.  Walaupun penduduk-penduduk di kampung ini tidak ramai dan kebanyakan daripada mereka adalah berkolar biru, tetapi mereka mempunyai semangat keturunan atau tradition kaum Cina yang baik.  Mereka telah bertungkus-lumus dalam usaha mendirikan sekolah ini untuk mendidik pemuda yang menjadi tiang negara pada masa yang akan datang.  Sekolah ini didirikan pada masa penempatan semula penduduk-penduduk di adakan iaitu lebih kurang 42 tahun dahulu, iaitu pada tahun 1950.  Dengan sokongan dan galakan pihak kerajaan dan kerjasama antara penduduk-penduduk kampung pada masa itu, sebuah sekolah yang berlengkap dengan kemudahan-kemudahan dapat ditubuhkan.  Pada waktu itu, Encik Teoh Mah Teik telah dilantik menjadi Pengerusi Lembaga Pengurus Sekolah.  Sementara Encik Chai Choo menjadi Guru Besar dan isteri beliau menjadi Penolong Kanan dengan pendaftaran seramai 40 orang murid.

Dalam tahun 1952, Encik Ooi Lay Hoon pula menggantikan tempat Guru Besar dengan pendaftaran murid-murid hampir-hampir meningkat 100 orang.  Pada bulan Mac 1953, pihak pemerintah bekerjasama dengan MCA menjalankan satu projek untuk membina lagi dua bilik darjah, sebuah pejabat serta sebuah kutubkhanah.  Projek ini memerlukan perbelanjaan sebanyak RM 11,700.00.  Pada 2hb. Jun, 1953 sekolah ini dirasmikan pembukaannya oleh Tuan Pegawai jajahan Teluk Intan.  Penyusunan semula ahli-ahli Lembaga Pengurus pun diadakan.  Pengurus sementara Encik Loh  Tong menjadi Bendahari.

Pada bulan Mei, 1954, Encik Moo Yee Hang pula menggantikan tempat  Guru Besar dan pada waktu pentadbiran beliau, sekolah ini dikenali sebagai ‘  Pelawan New Village School’.

Pada bulan April 1957, satu projek memperbaiki kerosakan-kerosakan sekolah telah dilaksanakan dengan perbelanjaan sebanyak RM 1,650.00.  Pihak pemerintah menyumbangkan sebanyak RM 1,500.00 sementara yang bakinya dibayar dengan derma.

Dalam tahun 1959, perubahan besar berlaku dalam Ahli-Ahli Jawatan Kuasa Sekolah.  Tiga orang wakil ibubapa, Pemegang Amanah, Murid-Murid Tua, Penyokong dan Pemerintah telah menganggotai Jawatan Kuasa tersebut.  Pada tahun 1960, Darjah Enam telah dibentuk manakala pendaftaran murid-murid telah meningkat ke angka 130 orang. 

Pada bulan Januari, 1962 Encik Lok Jin menjadi Guru Besar, dan dalam masa itu juga nama sekolah ini bertukar sekali lagi, yang akhirnya dikenali sebagai “ Pelawan National Type Primaru (Chinese) School”.  Dalam masa pentadbiran beliau, seorang lagi guru kanan Pemerintah telah menjadi jumlah guru empat orang semuanya.  Dalam tahun 1964, Pemerintah telah memberi wang sebanyak RM 5,500.00 untuk menyediakan perabot-perabot baharu, memperbaiki kerosakan-kerosakan dan juga memagari kawasan sekolah.  Projek tersebut telah siap dalam bulan Oltober, 1964.  Sejak itu pentadbiran sekolah dapat dijalankan dengan licin.

Dalam tahun 1966 iaitu pada awal tahun ini dengan persetujuan Tuan Pengarah Pelajaran Perak, Encik Kok Chin Yen telah dilantik menjadi Guru Besar bagi menggantikan tempat Encik Ong Lok Jin.

Pada 28hb. Mac, 1967 dengan tidak disangka-sangka, salah sebuah daripada bangunan sekolah ini telah dimusnahkan oleh ribut kencang.  Kejadian tersebut dengan serta merta telah dilaporkan kepada pihak Jemaah Lembaga Pengurus dan Tuan Pengarah Pelajaran Perak.  Setelah laporan itu diterima pihak Pengarah Pelajaran Perak telah mengutuskan seorang Jurutera datang menyiasat kejadian tersebut.  Menurut laporan yang dibuat oleh Jurutera, maka Tuan Pengarah Pelajaran Perak telah bersetuju membina sebuah bangunan baharu yang mengandungi dua buah bilik darjah dan sebuah Pejabat untuk menggantikan bangunan yang musnah itu.  Sebelumnya bangunan baharu di siapkan, setengah daripada murid-murid terpaksa ditempatkan di Dewan Orang Ramai Pelawan.

Pada bulan Mei, 1968 sebuah bangunan baharu yang mengandungi dua bilik darjah dan sebuah pejabat telah siap dibinakan dengan sumbangan wang dari Kementerian Pelajaran.  Dengan terbinanya bangunan ini, pihak Guru Besar dapatlah menjalankan tugas pentadbiran sekolah ini dengan bertambah licin dan teratur.

Pada 1hb. Februari, 1978 Encik Chen Chow Yoon telah dilantik menjadi Guru Besar di sekolah ini.  Tetapi tidak lama kemudian, iaitu pada 1hb. Julai , 1979 Encik Chan Su Lim telah diarah oleh Tuan Pengarah Pelajaran Perak untuk memegang jawatan Guru Besar sekolah ini dengan pendaftaran murid-murid seramai 110 orang.

Pada bulan Ogos 1978, semua guru telah bekerjasama melukis sebuah
‘ mural’ atau lukisan dinding di bangunan baru di depan sekolah demi mengalu-alukan kedatangan lebih 80 orang ahli-ahli Rombongan Lawatan dari Persatuan Perkembangan Sekolah Rendah Cina dari Hilir Perak.  Pada 8hb. Oktober, 1978 apabila mereka menjejak kaki ke sekolah ini, mereka bukan sahaja tertarik hati terhadap ` mural ’ yang sungguh menarik tetapi juga sangat menikmati permainan Pancaragam yang terdiri daripada seramai 44 orang murid-murid.  Selepas itu, pihak sekolah menjemput Encik Chai You Mok dan Encik Lau Fatt Kuen untuk menanam pokok-pokok sebagai kenangannya.

Seminggu kemudian sekolah ini mengadakan Temasya Sukan Tahunan ke – 2.  Pihak sekolah telah mempersilakan Encik Lau Fatt Kuen untuk merasmikan upacara sukan tersebut.  Penyelia sekolah-sekolah Cina Encik Wong Ng Cheong serta bekas Guru Besar Encik Kok Chin Yen dan Encik Chen Chow Yoon juga di jemput menghadiri Temasya Sukan ini.

Pada 28hb. Ogos, 1979 Menteri Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar, Yang Berhormat Datuk Michael Chen telah membuat satu lawatan rasmi ke Daerah Langkap.  Sekolah kami tidak diasingkan dan kami merasa sangat bangga kerana dapat termasuk rancangan  lawatanya.  Bersama-sama ini pihak Lembaga Pengurus Sekolah, PIBG, guru-guru, murid-murid serta pancaragam sekolah telah memberi sumbangan dan sambutan yang hangat kepada Yang  Berhormat.  Beliau juga dijemput untuk menanam pokok di sekolah sebagai kenangannya.

Pada ketika itu, pihak sekolah menyampaikan memorandam kepada beliau demi meminta bantuan wang bagi perkembangan sekolah.  Pada majlis malam itu, beliau mengisytiharkan untuk memberi bantuan wang sebanyak RM 15,280.00.  Sebahagian wang bantuannya iaitu RM 7,.280.00 diperuntukkan untuk memperbaiki pagar, manakala bakinya RM 8,000.00 diperuntukan untuk membina Perpustakaan Sekolah.

Dengan usaha kerajaan dan wang dari orang ramai, perpustakaan sekolah kami telah pun siap dibina dengan menelan perbelanjaan sebanyak RM 26,000.00.  Dengan adanya perpustakaan yang serbaguna ini akan memberi faedah yang besar untuk menampung kekurangan dalam proses perbelanjaan dan seterusnya meninggikan taraf pendidikan anak-anak kita.

Baru-baru ini, dengan usaha ahli Dewan Undangan Negeri dan ahli Dewan Parlimen Daerah ini, Sekolah kami telah mendapat peruntukan wang sebanyak RM 4,000.00 untuk digunakan membeli buku-buku bacaan, perabut-perabut dan membiayai perbelanjaan perpustakaan sekolah.

Pada 1hb. September, pihak Jabatan Pelajaran Perak telah melantik Encik Ling Kong Ang memegang jawatan Guru Besar sekolah ini menggantikan Encik Chan Su Lim yang telah dilantik untuk menjadi Guru Besar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Benbam, Batu Gajah.

Pada akhir tahun 1982, sekolah ini mendapat peruntukan bantuan wang sebanyak RM 2,000.00 daripada Yang Berhormat Encik Mohd Yusof bin Madin AMN, AMP Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Sungai Manik untuk membekalkan perabut-perabut yang sangat di peruntukan bagi Perpustakaan Sekolah ini.

Dalam Rancangan Lima Tahun Yang Keempat, sekolah kami telah mendapat peruntukan wang sebanyak RM 310,000.00 untuk membina sebuah bangunan dua tingkat yang moden.  Projek ini telah diselesaikan pada akhir tahun 1982 dan digunakan pada awal tahun 1983.

Pada 21.4.1987 Encik Wong Pen telah dilantik menjadi Guru Besar untuk menggantikan Encik Ling Kong Ang yang dapat bertukar ke SRJK (C) Yen Min, Bagan Pancor, Perak.

Pada bulan Ogos, 1987 pihak sekolah telah mendapat bantuan wang sebanyak RM 1,000.00 dari YB Encik Mohd Nazri bin Haji Abdul Rahim, PCM, PPN, PJK, untuk membeli sebuah Mini Kompo, sebuah Hoaster dan Mike FM.

Pada bulan Ogos, 1988, diperolehi bantuan wang lagi sebanyak RM 1,200.00 dari YB Timbalan Menteri Dalam Negeri Malaysia, Dato’ Haji Megat Junid bin Megat Ayob, DPCM, AMP,AMK, bagi memasang sebuah Takung Besi Saluran Air di depan bumbung bangunan sekolah baru kami.  Pada bulan Disember, 1988 pula, suatu peruntukan wang diperolehi lagi sebanyak RM 1,500.00 dari YB Menteri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan untuk memasang satu set P.A sistem di tiap-tiap bilik darjah.

Pada bulan Mei, 1988 suatu usaha mencantikkan sekolah diadakan dengan usaha sama dari kedua-kedua pihak PIBG dan Lembaga Pengurus Sekolah.  Sebanyak 19 batang pokok besar yang bahaya dan yang tertumbuh di tepi pagar sekolah telah ditebang dan kawasan pagar yang dipenuhi dengan semak-samun dibersihkan.

Pada 16.5.1989 Encik Wong Pen ditukarkan ke SRJK(C) Phooi Yong, Teluk Intan dan jawatannya diisi oleh Encik Chai Min Yoon.  Pada tahun 1989, sekolah ini telah mendapat peruntukan sebanyak RM 2,000.00 daripada Y.B Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen bagi Kawasan Pasir Salak untuk membina gelanggang badminton manakala Y.B Dato’ Haji Mohd Nazri bin Haji Abdul Rahim, ADUN bagi Kawasan Sungai Manik telah meluluskan peruntukan sebanyak RM 2,000.00 juga kepada sekolah ini untuk membina Bilik Ping Pong.  Pada 26.10.1989, sekolah ini telah mengadakan Malam Ibubapa buat kali yang pertama sejak sekolah ini ditubuhkan.  Pada malam itu pelbagai jenis persembahan seperti tarian, lakonan, nyanyian dan persembahan pasukan pancaragam sekolah telah diadakan dan pihak sekolah ini berjaya mengutip derma sebanyak RM 2,000.00 bagi tujuan membuat pakaian seragam untuk pasukan pancaragam sekolah dan pasukan tarian tradisional sekolah.

Pada tahun 1990, sekolah ini telah merancang beberapa aktiviti untuk merayakan Perayaan Ulangtahun Sekolah yang ke – 40.  Sempena perayaan itu, aktiviti-aktiviti seperti Hari Ibubapa, Hari Murid-Murid Tua dan merentas Desa telah diadakan seminggu sebelum Hari Perayaan Ulang Tahun Sekolah tiba.

Pada 8.6.1990 satu acara kemuncak telah diadakan, iaitu Majlis Makan malam  mengutip Tabung Sekolah telah diadakan di Dewan Tokong Tempatan.  Diantara para jemputan khas yang menghadiri majlis makan malam itu ialah Y.B Menteri Pengangkutan Malaysia, Dato’ Dr. Ling Liang Sik, Ahli Exco Negeri Perak, Y.B Dato’ Ong Ka Chuan dan Dato’ Song Yong Phiaw serta wakil-wakil sekolah dari seluruh Daerah Hilir Perak.  Pada malam yang meriah dan bersejarah itu, sekolah ini berjaya mengutip derma sebanyak RM 2,000.00 bagi menambah tabung sekolah ini.

Pada tahun 1990 pula, sekolah ini telah mendapat peruntukan-peruntukan sebanyak RM 27,000.00 daripada Y.A.B, Y.B. Ahli Parlimen dan Y.B. ADUN serta Ahli-Ahli Exco Negeri Perak bagi tujuan melaksanakan projek-projek kecil di sekolah ini seperti berikut :-

i)             Peruntukan Y.A.B Perdana Menteri Malaysia – RM 6,000.00 bagi mencantikkan kawasan sekolah, memasang bekalan elektrik di pusat-pusat sumber sekolah;

ii)           Peruntukan Y.B Menteri Pengangkutan Malaysia –RM 10,000    
Bagi memperbaiki bangunan sekolah ;

iii)          Peruntukan Exco Negeri Y.B. Dato’ Ong Ka Chuan – RM 5,000.00 bagi membina bangunan tambahan kantin sekolah.

iv)          Peruntukan Y.A.B Menteri Besar Perak – RM 3,000.00 bagi       
Membeli alat-alat muzik pasukan pancaragam sekolah;

v)            Peruntukan Y.B. Timbalan Menteri Dalam Negeri Malaysia – RM 2,000.00 bagi membeli T.V. Warna, Rakaman Video dan Meja Ping Pong dan RM 1,000.00 lagi sebagai tabung sekolah.
Pada tahun 1991 sekolah ini telah diluluskan untuk menjadi pusat pelaksaan program pendidikan prasekolah oleh Kementerian Malaysia dan satu bangunan khas Kelas Prasekolah telah dibina bagi tujuan tersebut.  Bangunan khas itu berbelanjakan RM 20,000.00 (Pihak sekolah ini telah menyumbang RM 5,000.00).  Pada tahun ini juga sekolah ini telah menerima peruntukan sebanyak RM 1,500.00 daripada Y.B Timbalan Menteri Dalam Negeri Malaysia bagi membeli sebuah mesin memotong rumput yang baru.  Selain daripada itu, satu peruntukan yang berjumlah RM 2,000.00 juga diperolehi daripada Menteri Kesihatan Malaysia, Y.B Dato’ Lee Kim Sai bagi tujuan membeli alat-alat muzik pasukan pancaragam sekolah.

Pada tahun 1992, sebuah Kelas Pendidikan Prasekolah telahpun dibuka mulai 6.1.1992 dengan keramaian kanak-kanak seramai dua puluh orang.  Seorang guru telah diperuntukan sebagai Guru Kelas dan dibantu oleh seorang pengasuh kanak-kanak.  Sebuah bilik darjah yang baru telah siap dibina.  Alat-alat permainan seperti jongkang-jongkit, papan gelunsor, buaian, papan timbang, pondok dan lain-lain dibina oleh Jabatan Pendidikan Perak.

Pada bulan Disember 1992, sekolah ini telah mendapat peruntukan sebanyak RM 4,000.00 daripada Y.A.B Menteri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan dengan tujuan membeli satu set komputer yang terbaru.  Dengan pemberian peruntukan ini nescaya pentadbiran sekolah ini dapat dijalankan dengan lebih licin, teratur dan kemaskini.

Pada 16.5.1993 En. Chai Min Yoon telah ditukar ke SRJK(C) Chui Chak, Langkap sebagai Guru Besar dan En. Wong Kok Lee, Penolong Kanan 1 dari SRJK(C) Phooi Yong, Teluk Intan telah ditukarkan ke sekolah ini untuk menggantikan tempat kosong itu.

Pada tahun 1995, kantin sekolah dinaikkantaraf dengan peruntukan RM 50,000.00 daripada Kementerian Pendidikan.

Pada Tahun 1996, kerja penyelenggaraan untuk membina makmal sains menggantikan asbestos bumbung, pagar dan pintu bilik darjah dijalankan dengan peruntukan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Perak.

Pada tahun 1997, program pembelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris berpandukan komputer dijalankan dengan bantuan 8 buah komputer yang disumbangkan derma oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Lembaga Pengurus, PIBG, Tokong Kg. Pelawan dan Ibubapa.

Pada tahun 1999, sekolah ini telah mendapat peruntukan sebanyak RM 28,700.00 daripada Kementerian Pendidikan untuk membina sebuah bilik Pusat Sumber.  Pada tahun itu pula, kerja penyelenggaraan peralatan permainan Prasekolah di jalankan.

Pada 29.10.2000, Pihak sekolah, Lembaga Pengurus dan PIBG mengadakan Malam Amal bertempat di Dewan SJK(C) Wah Keow, Langkap untuk menyambut Perayaan Ulangtahun ke – 50.  Aktiviti itu telah memungut derma sebanyak RM 78,000.00 untuk melaksanakan projek sekolah Bestari.  Dalam projek itu Program Komputer Dalam Pendidikan yang sedia ada akan dikemaskinikan, bilik komputer juga akan dinaiktarafkan.  Disamping itu, pengurusan hal ehwal murid, pusat sumber dan penyusunan jadual waktu juga akan dikendalikan melalui komputer-komputer yang berangkaian, demi tujuan meningkatkan kecekapan pentadbiran di samping menjimatkan masa dan tenaga.

Pada Disember tahun 2000, kerja penyelenggaraan untuk menggantikan 8 buah tangki air, bumbung reput dijalankan dengan peruntukan RM 13,180.00 daripada JPN Perak.

Pada 16.12.2000 En. Wong Kok Lee di tukar ke SJK(C) Chui Chak, Langkap sebagai Guru Besar dan En. Tan Kim Weng Guru Besar SJK(C) Chong San, Sungai Burung, Bagan Datoh, telah mengambil alih jawatan itu.

          Pada Disember 2001 telah mendapat peruntukan sebanyak RM 48,5873.80 untuk penyelenggaraan dan menaiktaraf bangunan seperti menukar pintu bilik darjah, mengecat, menggantikan cermin tingkap.

          Pada Disember 2003 telah mendapat peruntukan untuk menaiktaraf bangunan Prasekolah, seperti mentilekan bilik darjah, dapur, mengatapkan jalan yang menyambungkan bilik Prasekolah.

          Pada 16.03.2005 En. Tan Kim Weng ditukarkan ke SJK(C) Kampong Coldstream, Bidor sebagai Guru Besar dan Pn. Tan Woo Eng @ Tan Ngo Eng Penolong Kanan Pentadbiran SJK(C) Chong Min, Teluk Intan telah mengambil alih jawatan sebagai Guru Besar.

          Semasa cuti sekolah, pada bulan Disember 2005, bumbung bangunan lama telah pecah.  Siling bilik Tahun 2 yang mengandungi tahi kelawar jatuh ke lantai.  Didapati seluruh siling bangunan lama telah dipenuhi dengan tahi kelawar.  Oleh kerana perkara ini bukan urusan Bahagian Pembangunan Sekolah, kami diberitahu adalah tanggungan sekolah sendiri atau dapat pertolongan daripada PIBG dan Lembaga Pengurus sekolah.  Perkara ini ditangguhkan.  Unit Pembangunan Sekolah di PDD bersetuju membaiki dan menyelenggaraan kerosakan bumbung dan atap yang perlu digantikan.  Peruntukan sebanyak RM 1670.00 dapat diperolehi untuk penyelenggaraan tersebut.

          Pihak sekolah dibekalkan 8 buah komputer dengan sistem Network.  Pihak sekolah dinasihat menambah suis dan saluran elektrik yang lebih sesuai dengan tambahan computer tersebut. Pengerusi pengurus bersetuju mengubahsuaikan suis yang diperlu serta segala suis yang perlu diganti pada bulan Oktober 2005.  Saluran paip air sekolah telah digantikan dengan paip PVC atas permintaan Guru Besar.

          Pada bulan Jun 2006, Prasekolah telah dapat peruntukan RM 12,990.00 untuk menaiktaraf kemudahan Prasekolah.  Longkang-longkang yang rosak dapat dibaiki.  Sepanjang kiri dan kanan tangga alat permainan gelongsor dipasangkan besi bulat.  Paip air prasekolah dapat diubahsuai dengan PVC ¾¨.  Pondok bacaan/rehat dibaiki dengan jenis konkrit.  Alat permainan buaian jenis fiber-glass  untuk 2 orang dibekalkan.  Kolam sains dipasangkan dengan pagar baru jenis besi.

          Pada bulan Jun 2006, prasekolah dibekalkan dengan sebuah buaian jenis fiber-glass untuk 2 orang daripada kerajaan.

          Pada bulan Oktober 2006, pihak sekolah telah memohon peruntukan bagi senggara/ubahsuai naiktaraf sekolah untuk bajet mengurus 2007 dengan sebanyak RM 27860.00.  Skop kerja adalah membaiki tandas, mengganti sebahagian bumbung yong bocor, mengganti pagar yang telah rosak, membina sebuah bilik darjah dengan menggunakan ruangan bermain ping-pong, mentilekan bilik Guru Besar, pejabat dan bilik guru dengan “batu Italy” “8 x8”.

          Pada 10.11.06, sekolah telah mengadakan malam persembahan sempena perayaan Hari Kanak-kanak dan Perpisahan Murid Tahun 6.  Dengan kerjasama semua kakitangan, semua guru sekolah serta Penubuhan Wanita Kampung Pelawan, persembahan tarian, lakonan, nyanyian serta silap mata yang sungguh menarik.

          Pada 10.12.2006 Pn. Tan Woo Eng @ Tan Ngo Eng genap 56 tahun dan bersara wajib.  Tempat beliau digantikan oleh Pn. Ong Siw huwa Penolong Kanan 1 SJK(C) Chui Chak Langkap.  Beliau mula bertugas pada 11.12.2006.